Saturday, September 29, 2007

lailatul Qadr


Arini dah masuk tengah ramadan. kata orang tua ketam bersalin kulit, tak da isinya. kejap je bumi berputar. kekadang tak tersedar dek leka.Tambahan lagi tolak tidur, makan , main-main. Adakah kita mampu bertemu Laillatul Qadr? ramai tersenyum dan diam. Layakkah kita sebagai tamu Allah di Malam Lailatul Qadr? Pernahkah kita bertemu dengan Lailatul Qadr? Masih teringat kata- kata ustaz semasa di bangku sekolah.Lailatul Qadr berlaku 10 malam terakhir (bahagian terakhir bulan ramadan yg dijauhi api neraka bagi yang berpuasa), tak sejuk, tak panas, tak hujan,tenang jer. alangkah beruntung yang mendapat lailatul Qadr. Ya Allah ketemukan Ku dengan lailatul Qadr. Malam yg lebih baik daripada seribu bulan. tetapi kita sering sibuk dengan hal dunia. Kalau orang pompuan asyik dengan kuih raya, kalau dengan lelaki dengan hal masing-masing. Bagai lailatul Qadr tiada makna bg mereka juga kita. Emm, ye ke?.inilah soalan muhasabah yang mampu dilontarkan.

Thursday, September 27, 2007

Pengislaman keluarga termakbul selepas lapan tahun


Oleh ZUARIDA MOHYIN


MOHD. FARHAN ABDULLAH AL-HAFIZ.

PENULIS terpanggil untuk menemu bual lelaki bertubuh kecil kelahiran Kota Belud, Sabah ini selepas secara tidak sengaja terdengar suaranya menerusi satu program yang ke udara di IKIM.fm.

Pada masa itu, beliau diminta berkongsi kisah pengislaman, cabaran bergelar mualaf, penglibatan aktif beliau dengan kerja-kerja dakwah dan membantu golongan saudara baru, terutamanya di Sabah.

Tanpa melengahkan masa, penulis terus menghubunginya selepas memperoleh talian telefon bimbitnya. Biarpun sibuk, kesediaan Mohd. Farhan Abdullah al-Hafiz, 39, iaitu Penasihat Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Bestari (PPTQB) yang beroperasi di Serdang, Selangor meluangkan masa, apatah lagi melihat jadual hariannya yang sentiasa padat dengan undangan tazkirah sepanjang bulan Ramadan, amatlah penulis hargai.

Lantaran memahami kesibukannya itu juga, kami (penulis dan jurufoto) akur apabila pemuda berketurunan Kadazan ini terlewat daripada waktu yang dijanjikan.

Menurut Mohd. Farhan ataupun sebelum ini bergelar Paster Yohanes, sebagai anak kepada seorang ketua kepada 15 buah gereja, sudah pastilah dia memiliki latar belakang pendidikan beraliran Kristian yang mantap. Beliau mengikuti latihan ketua mubaligh Kristian selama dua tahun dengan melibatkan diri secara aktif aktiviti dakyah Kristian sebelum melanjutkan pengajian menguasai bahasa Ibrani di Bandung, Indonesia.

“Sungguhpun telah mengusai kesemua ilmu agama Kristian, dua persoalan yang sering bermain fikiran saya iaitu; tentang konsep Trinity dan Majlis Pengampunan Dosa yang disebut Baptis,” ceritanya mengimbas kisah lebih 15 tahun lalu.

Mohd. Farhan yang memeluk Islam pada 26 Februari 1990 di Pusat Latihan Dakwah Keningau, Sabah berkata, dia mula tertarik kepada Islam semasa belajar di Institut Teknologi Mara, cawangan Sabah (sekarang UiTM). Kenyataan seorang pensyarah subjek Pelajaran Islam tentang tuhan Allah tidak sama dengan tuhan agama lain agak memanaskan telinga dan hatinya.

“Jadi inilah peluang saya berhujah, apabila mengetahui beliau juga mahir tentang masalah perbandingan agama termasuklah dalam masalah Teologi.

“Pada masa sama juga, saya mempunyai teman sebilik yang rajin mengaji al-Quran. Kalau sebelum ini, setiap kali terdengar azan sama ada di radio atau televisyen, saya akan cepat-cepat mematikannya. Tetapi semuanya berubah selepas sentiasa diperdengarkan dengan bacaan al-Qurannya yang begitu baik bacaannya dan menusuk kalbu.

“Selain itu, saya juga tertarik dengan akhlaknya. Dia begitu menjaga masanya terutamanya dalam urusan agama. Kami selalu berhujah, dan dia selalu membawa saya bertemu seorang ustaz untuk menyelesaikan dua persoalan yang selama ini terbuku di hati.

Mimpi luar biasa

“Hasil perdebatan, pengkajian dan penelitian tanpa paksaan dan bukan pula kerana inginkan habuan dunia, saya mula tertarik dengan Islam,” tegas Mohd. Farhan ‘mimpi luar biasa’ yang dialami sewaktu bermalam di rumah ustaz menjadi pembuka jalan kepada pengislaman.

Akui beliau lagi, cabaran yang dihadapi selepas bergelar Muslim memang berat dan perit. Apa tidaknya, dia bukan sahaja terputus subsidi keluarga tetapi telah dihalau dari rumah, tidak diakui anak dan hampir-hampir terkena peluru hidup milik senapang bapa yang tersasar bidikan.

Pun begitu, sebelum meninggalkan keluarga, anak kedua daripada enam adik-beradik ini berazam untuk membawa bersama keseluruhan ahli keluarganya kepada Islam. Malah, beliau tidak menjadikan agama sebagai penghalang memutuskan ikatan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa.

“Selepas sahaja mengucap syahadah saya berhijrah ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kuala Lumpur, sebelum belajar agama di Perkim Pengkalan Chepa Kelantan (1991-1993), Nilam Puri (1994) Pondok (1995), mengambil Diploma Tahfizul Quran di Pusat Islam (1996-1998) dan pada 2000 hingga 2003 berada di Shoubra al-Azhar, Mesir dalam jurusan al-Quran dan Qiraati.

“Selama membawa diri, saya tidak pernah putus-putus berdoa, bersolat hajat, bertanya khabar serta menghantar kitab-kitab berkaitan Islam agar Allah ‘melembutkan’ hati keluarga untuk menerima Islam.

“Alhamdulillah, selepas lapan tahun, doa saya dimakbulkan Allah. Sekarang seluruh ahli keluarga saya menerima Islam. Apa yang saya alami sebelum ini, begitulah juga dialami oleh ayah,” katanya yang telah mengislamkan lebih 2,000 orang dari pelbagai kaum.

Katanya lagi, ayahnya kini senang dengan kehidupan yang sederhana, cukup makan, senang beribadat meskipun sering cuba ‘dipikat’ dengan bermacam-macam bentuk kemewahan dan ganjaran oleh pihak-pihak tertentu supaya kembali kepada agama asal.

“Malah dia juga mewakafkan tanahnya untuk pembinaan masjid dan madrasah sebagai tempat pengajian golongan mualaf,” kata Mohd. Farhan yang menubuhkan Pusat Pengajian Ilmu-ilmu Islam al-Azhar Sabah (PUPIS) bersama beberapa orang sahabat. Mereka melaksanakan Program Dakwah Bergerak secara sukarela di Sabah dan Sarawak.

Mengulas tentang peranannya sebagai pengasas PPTQB, katanya ia ditubuhkan untuk membasmi buta huruf al-Quran dan memperkenalkan pelajaran Jawi dan bahasa Arab serta asas-asas agama di peringkat kanak-kanak. Para pelajar di sini sebahagiannya mengikuti pengajian Pra Tahfiz (4-6 tahun), Tahfiz (7-17 tahun) dan Umumi iaitu terbuka kepada orang dewasa.

Selain menguruskan pusat tahfiz, Mohd. Farhan turut giat menyampaikan maklumat tentang gerakan kristianisasi yang begitu membimbangkan. Harapan beliau juga, semoga umat Islam menjaga iman dan Islam terutamanya generasi muda-mudi yang merupakan sasaran utama mereka.

Baginya, semua pihak tidak perlu menuding jari menyalahkan satu sama lain apabila anak-anak mereka terlibat dengan kerja-kerja yang dilarang Islam. Satu formula saranannya ialah kembali menghayati al-Quran menerusi kempen yang dikenali satu rumah satu hafiz atau hafizah. Ia boleh dilakukan menerusi buku, Kaedah Sistematik Penghafazan al-Quran Jilid 1 & 2.

Tambah Mohd. Farhan, manusia tidak perlu kepada agama lain kerana syarat bagi agama yang sebenar ialah; Pertama, agama itu menyembah kepada Allah dan Allah tidak boleh dinisbahkan kepada makhluk atau benda lain. Kedua, agama itu mempunyai undang-undang yang berbentuk kitab yang meliputi bidang kehidupan secara terperinci dan dipakai dari dahulu hingga sekarang serta tidak berubah-ubah.

Pada kesempatan ini juga Mohd. Farhan menyeru bantuan sumbangan orang ramai untuk mendirikan bangunan bagi kerja-kerja dakwah.

Beliau boleh dihubungi menerusi talian 019-2666 323 atau 03-8942 3624. No akaun Bank Islam: 12-029-01-003493-7 atau Maybank: 5122-68-40494-7 di atas nama Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari.

Wednesday, September 19, 2007